Saya berusia
pertengahan 20-an dan kini menghadapi masalah diri yang sangat serius.
Saya baru mengenali seorang lelaki (D) yang berumur empat tahun lebih
muda daripada saya. Kami berkenalan melalui satu laman sosial.
Saya dan dia baru saja putus cinta
dan D pernah memberitahu dia mahu memperisterikan saya selepas teman
wanitanya berkahwin dengan orang lain. D bekerja tetap dan memiliki
kereta dan rumah.
Baru-baru ini, D
meminta saya menceritakan pengalaman bercinta dengan bekas teman lelaki
termasuk berterus-terang sama ada pernah terlanjur atau terbabit dengan perkara lain yang kurang elok.
Saya mengatakan tidak pernah melakukan perkara tidak baik tapi hakikatnya saya pernah dirogol abang ipar di tempat praktikal dulu.
Saya tidak
pernah bercerita mengenainya tapi D mahu tahu segala kisah silam.
Perlukah saya menceritakannya kepada D peristiwa hitam itu?
Saya mahu bersikap jujur tetapi saya takut D tidak boleh menerima kisah silam dan akhirnya meninggalkan saya.
Saya jadi buntu
kerana D pernah beritahu dia boleh menerima saya seadanya tapi tidak
suka ditipu. Harap Dr dapat memberikan nasihat dan pandangan.
SANGAT BUNTU,
Selangor
Dr memahami
masalah yang mengganggu diri adik. Dalam hal ini, adik memerlukan
kesabaran dan ketabahan tinggi untuk memastikan ia ditangani dengan
baik.
Dr nasihatkan
adik sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah mengalah. Cinta satu
perkara yang sangat memerlukan ketahanan emosi yang tinggi. Ia perlu
dilihat dari sudut pandangan yang sangat matang.
Adik perlu
memikirkan setiap risiko yang akan ditanggung apabila melalui fasa ini.
Sama ada ia baik atau tidak, ia bergantung kepada perjalanan perhubungan
adik dengan si dia.
Faktor yang sangat perlu diambil kira apabila berada dalam fasa kehidupan ini ialah kejujuran dan keikhlasan.
Apabila bercakap mengenai faktor ini, adik sewajarnya perlu jelas konsep kejujuran yang Dr maksudkan ini.
Dalam memulakan hubungan membabitkan hati dan perasaan ini, adik perlu tahu kejujuran sangat memainkan peranan penting.
Jika berlaku
suatu perkara yang salah seorang pasangan tidak ingini maka akan berlaku
perselisihan faham yang bakal meruntuhkan institusi rumah tangga yang
dibina.
Dalam masalah
ini, Dr nasihatkan adik berterus-terang dengan apa yang adik alami. Dr
faham mengenai perasaan dan situasi yang adik alami tapi harus ingat
jika tidak berterus-terang atau cuba berselindung dengan apa pernah
terjadi pada diri adik, ini akan lebih memberi kesan yang lebih besar
jika perkahwinan diteruskan.
Pada pandangan
Dr lebih baik adik berterus-terang mengenai diri adik kepada si dia
supaya tidak menimbulkan isu yang lebih besar apabila berkahwin.
Cari masa yang
betul-betul sesuai untuk berdiskusi akan hal ini. Jangan takut kerana
jika benar D mencintai dengan ikhlas dan jujur maka dia akan menerima
diri adik seadanya.
Pasangan yang
bahagia ialah mereka yang boleh menerima diri pasangannya dengan hati
yang terbuka. Menghargai kelebihan yang ada pada diri pasangannya dan
bersyukur dengan kekurangan diri pasangannya dengan seadanya.
Jika benar dia jodoh yang ditakdirkan untuk adik maka percayalah apa pun yang terjadi dia akan kembali kepada adik.
Tidak perlu merasa takut dan rendah diri dengan apa yang terjadi dan bakal terjadi kerana ia bukan berpunca daripada diri adik.
Adik hanya
mangsa keadaan yang diuji Allah. Usah berasa gundah dengan apa yang
terjadi kerana ia adalah ujian untuk melihat tahap keimanan adik.
Jika benar dia jodoh adik maka berdoalah supaya Allah melembutkan hatinya untuk menerima diri adik seadanya.
Adik juga ada mengatakan si dia tidak suka ditipu dan ingin mengetahui sejarah silam kehidupan adik.
Pada pandangan
Dr, adik sewajarnya berterus-terang mengenai apa yang sudah berlaku. Ini
menunjukkan sifat keikhlasan dan kejujuran adik dalam perhubungan ini.
Sama ada si dia
menerima atau tidak, itu terpulang kepadanya dan pada ketika ini adik
perlu yakin kepada jodoh yang ditetapkan. Inilah yang Dr maksudkan
bahawa adik memerlukan persediaan emosi yang kuat apabila berada dalam
perhubungan ini.
Semoga adik
memperoleh kekuatan dan ketabahan yang tinggi untuk menghadapi situasi
ini. Dr juga doakan semoga adik sentiasa tabah dan sabar dalam setiap
kemungkinan yang berlaku dan ingat setiap yang berlaku itu ada hikmah
yang tersembunyi dan sentiasa bersangka baik dengan Allah.
No comments:
Post a Comment