CANTIK CARA NEELOFA | NAMA Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air.
Semenjak dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2010/2011, karier gadis
bertubuh genit, berkulit putih gebu ini terus melonjak naik.
Dikenali bukan sahaja kerana bakat dan kepetahannya bercakap, namun
kecantikan anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan yang berdarah kacukan
Pakistan dan Arab ini membuatkan dia sering menjadi perhatian ramai.
Justeru, Zass mendekati pendukung utama filem Azura ini untuk mengetahui
rahsia dia menjaga kecantikan dan kelangsingan tubuhnya.
Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?
Bagi saya, cantik dan sihat adalah satu perkara yang subjektif. Ia
melibatkan cara hidup, pemakanan kita kerana ada sesetengah orang amat
menitik beratkan soal pemakanan dan ada pula yang sebaliknya.
Sebagai seorang selebriti, pastinya anda sangat mementingkan kecantikan...
Jika saya bukan selebriti, kecantikan itu adalah penting. Namun cantik itu bukan meliputi wajah semata-mata, tetapi juga hati.
Adakah anda gemar mengenakan solekan tebal ketika keluar rumah?
Dulu ya, tetapi kini saya lebih suka kelihatan natural. Cukup dengan
pelembap bibir, bedak kerana saya mahu kulit saya dapat bernafas.
Anda mempunyai kulit yang putih dan gebu, apa rahsianya?
Saya akui agak menitik beratkan kecantikan kulit. Tapi saya tidaklah
terlalu cerewet dengan penjagaan. Percaya atau tidak, saya tidak
menggunakan krim siang atau krim malam. Sebaliknya hanya memakai serum
untuk kulit.
Biar pun mahal, pada saya jika bagus untuk kulit tidak salah kita keluar
belanja lebih sedikit. Selain itu, saya juga turut mengambil suplemen
untuk kecantikan kulit.
Ada amalkan cara tradisional untuk menjaga kulit?
Sejujurnya tidak kerana ada sesetengah barang tradisional agak susah
didapati. Jadi sekarang banyak produk moden seperti mask, lulur yang
boleh didapati di kedai. Jadi saya hanya gunakan cara moden kerana ia
lebih menjimatkan masa.
Ada sesetengah selebriti gemar memilih suntikan untuk kecantikan, anda pula bagaimana?
Ia terpulang pada selebriti atau individu itu. Pada pendapat saya
suntikan vitamin atau suntikan antioksidan memang bagus untuk kulit
apatah lagi, sebagai manusia biasa, kita kadangkala tidak mampu mengawal
pengambilan makanan atau mengikut susunan piramid makanan yang
ditetapkan. Jadi suntikan seperti ini dapat membantu kita menjaga kulit.
Tapi macam saya katakan tadi, ia terpulang pada individu tersebut kerana
suntikan ini memerlukan kos yang tinggi dan komitmen. Jadi kalau tidak
mahu keluarkan belanja yang banyak, jagalah kulit dengan pemakaian
produk sahaja.
Anda antara selebriti yang mempunyai tubuh yang cantik, apa rahsianya?
Saya tidak mengamalkan apa-apa rahsia kerana saya sebenarnya suka makan.
Cuma saya gemar ke gimnasium kerana kalau kita kurus sahaja tak guna,
apa yang penting tubuh kita nampak 'fit'.
Bagaimana rutin pemakanan anda?
Saya makan kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit. Bagi saya jika
kita pandai kawal kuantiti pemakanan, badan kita akan sentiasa
'maintain'. Manakala pengambilan makanan segera pula perlu dielakkan,
kalau boleh hanya sebulan sekali sahaja kerana makanan segera tidak elok
untuk tubuh kita.
Berapa kos yang anda peruntukan untuk penjagaan kulit, wajah dan rambut, setiap bulan?
Saya tidak tetapkan sebarang kos setiap bulan kerana tidak tetap. Ada
produk yang boleh pakai dalam tempoh lebih sebulan. Jadi ia bergantung
kepada keadaan juga.
Bagaimana cara anda menangani tekanan?
Biasanya saya akan luangkan masa bersama keluarga kerana keluarga adalah
tempat yang sesuai untuk kita berkongsi masalah bergembira. Selain itu
saya suka berbelanja untuk diri sendiri seperti makan dan membeli-belah.
Ia akan buat saya rasa lebih ceria.
Apa perkembangan terbaru anda?
Saya kini hanya terlibat dengan program Nona dan Meletop sebagai
pengacara, manakala filem baru saya yang diarahkan oleh Osman Ali akan
memulakan penggambaran Januari nanti.
No comments:
Post a Comment