Wanita tidak lagi menjadikan sakit kepala, sakit perut atau letih menguruskan anak sebagai alasan menolak ajakan suami berasmara.
Kini lelaki pula yang semakin kerap memberi alasan itu, menurut satu kajian baru.
Kajian itu mendapati, lebih separuh responden lelaki mengakui menolak ajakan seks lebih kerap, lapor akhbar Daily Mail.
Penyelidikan farmasi online di United Kingdom mendedahkan, lelaki lebih berkemungkinan menolak ajakan pasangan mereka dalam perkara itu dan letih serta tekanan kerja adalah alasan paling biasa.
Kajian yang dilakukan oleh ukmedix.com, meninjau pandangan 1,922 lelaki Britain berusia melebihi 18 tahun dan ada hubungan jangka panjang.
Ia dijalankan selepas laman itu mendapati wujud peningkatan ketara dalam pencarian ubat menaikkan syahwat dalam dua minggu pertama bulan Januari 2013.
Responden ditanya soalan berkaitan kehidupan seks mereka dengan pasangan.
Mereka ditanya siapa lebih kerap menolak ajakan melakukan hubungan seks dan 62 peratus lelaki mengaku mereka yang berbuat demikian.
Mereka kemudian ditanya apakah alasan paling kerap diberi kepada pasangan untuk tidak melakukannya.
Lima alasan paling popular ialah terlalu letih – 45 peratus, diikuti tekanan kerja – 39 peratus, sakit kepala – 39 peratus, terlalu kenyang selepas makan malam (29 peratus) atau mahu menonton rancangan di televisyen, 24 peratus.
Sebaliknya, apabila diminta memberikan punca sebenar mereka menolak ajakan seks, alasan lima teratas termasuk tidak selesa dengan tubuh iaitu, 39 peratus dan kurang bernafsu, 35 peratus.
Mereka juga ditanya kekerapan hubungan seks dengan pasangan. 42 peratus responden lelaki menjawab, dua minggu sekali.
–Agensi