TEPAT pukul 2.30 pagi, seorang anak muda mula memasuki ruang pemerahan susu untuk bersiap-siap menjalankan tugas hakikinya. Serentak dengan itu, puluhan ekor lembu mula berbaris panjang untuk menunggu giliran.
Jilianus Jozirin akan memakai kelengkapan termasuk sarung tangan sebelum kerja-kerja memerah susu dilakukan dengan penuh berhati-hati.
Anak kelahiran Ranau, Sabah yang berusia 27 tahun itu bersyukur kerana kewujudan Ladang Tenusu Desa Mesilau yang terletak di kaki Gunung Kinabalu itu telah memberikan nikmat rezeki kepadanya.
Menurut Jilianus, dia perlu mengambil masa sehingga tiga jam untuk menyelesaikan kerja-kerja memerah susu yang melibatkan hampir 100 ekor lembu.
"Seekor lembu tenusu mampu menghasilkan 12 liter susu sehari atau keseluruhannya kira-kira 60,000 liter sebulan.
"Operasi memerah susu dilakukan dua kali sehari iaitu pada pukul 2.30 pagi dan 2.30 petang manakala jumlah purata lembu yang diperah pada satu-satu masa sebanyak 200 ekor," jelasnya. Proses memerah susu akan dilakukan selama tiga jam setiap sesi dengan proses memerah mengambil masa antara dua hingga tiga minit bagi seekor lembu.
Kualiti
Berkongsi pengalamannya, Jilianus mengakui proses memerah susu lembu perlu dilakukan dengan teliti bagi menjamin kualiti dan kebersihan susu.
"Susu yang diperah ini untuk diminum dan amat penting untuk kami memastikan tempat memerah sentiasa berada dalam keadaan bersih.
"Di sini, kami menggunakan peralatan semi auto iaitu proses memerah menggunakan peralatan khas yang terus disambung ke balang besar," jelasnya.
Hakikatnya, Kundasang bukan hanya popular kerana Gunung Kinabalu. Pekan bersuhu sejuk yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu ini menyimpan pelbagai khazanah luar biasa bagi tatapan pengunjungnya.
Salah satu tarikan di daerah ini ialah Desa Cattle Mesilau. Juga dikenali sebagai Ladang Tenusu Desa, kawasan ini mencipta keistimewaan tersendiri kerana bentuk muka buminya yang tidak tumpah seperti bumi New Zealand.
Bukan sekadar untuk tatapan pancaindera, pengunjung juga berpeluang menimba pengalaman mengenai proses memerah susu, pengilangan dan pembungkusan susu.
"Setiap pengunjung yang datang ke sini, pasti akan pulang dengan satu kepuasan yang sama," kata Eksekutif Pelancongan Agro Desa Cattle, Mohd. Farid Mohd. Zaini.
Katanya, sektor penternakan lembu tenusu di Sabah bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya ia telah wujud hampir tiga dekad lalu menerusi pembukaan ladang tenusu di dataran Mesilau berhampiran kaki Gunung Kinabalu.
Ujarnya, Desa Cattle Mesilau yang berkeluasan 133 hektar ini dibuka sejak tahun 1980 untuk mewujudkan sebuah kawasan ternakan lembu bagi pemprosesan susu.
Sesuatu yang mengenai ladang ini kata Mohd. Farid ialah kehijauan rumputnya yang terbentang luas yang diimport dari New Zealand dan Australia.
"Rumput yang ada di sini tidak sama seperti rumput-rumput yang biasa kita lihat di tempat lain. Ia adalah rumput khas yang diimport dari New Zealand dan Austalia bersesuaian dengan suhu purata di kawasan ini iaitu antara 20 hingga 24 darjah Celcius.
"Benih-benih rumput yang ditanam adalah daripada jenis semi-temperate iaitu Kikayu, Narok Seteria dan rumput kekacang White Clover," katanya.
Memandangkan suhu di kawasan ladang Desa Cattle agak rendah, maka proses pembenihan dan penanaman rumput import di ladang ini tidak menjadi masalah, sebaliknya tumbuh subur seperti di New Zealand dan Australia.
Lembu tenusu
"Tambahan pula bentuk muka bumi yang sedikit berbukit dan tanah yang subur serta lembab menjadikan penorama di ladang ini begitu indah terutamanya pada waktu petang.
"Amat jarang untuk melihat rumput-rumput ini tumbuh di mana-mana kawasan di negara ini kerana selain faktor cuaca, penjagaan rapi pada peringkat awal juga sangat penting," katanya.
Justeru katanya, Desa Cattle yang dinaik taraf secara serius bagi tujuan pelancongan agro pada tahun 2011 telah membina beberapa bangunan khusus yang menempatkan sek tor-sektor utama bagi tujuan pelancongan.
Selain panorama indah di Desa Cattle, salah satu tarikan utama bagi para pelancong di ladang ini ialah ternakan lembu tenusu.
Dengan warna putih bercorak hitam, lembu daripada jenis baka tulen Holstein-Friesiens ini menjadi 'perhiasan' kepada rumput yang terbentang luas dan menghijau.
Mohd. Farid memaklumkan, setakat ini terdapat lebih 600 ekor lembu tenusu yang dijaga rapi bagi tujuan mendapatkan susu.
Baka lembu ini pada awalnya diimport dari New Zealand dan Australia, tetapi kini pihaknya menjalankan pembiakan tempatan menggunakan lembu jantan menerusi persenyawaan semula jadi yang diimport dari New Zealand.
"Selain menggunakan lembu jantan, pihak ladang juga menggunakan sistem permainan beradas (AI) untuk membantu lembu jantan, selain untuk mengelak berlakunya in-breeding," jelas beliau. In-breeding ialah pembiakan daripada baka haiwan yang mempunyai gen yang sama atau hubungan rapat sejak beberapa generasi.
Lembu tenusu berupaya menghasilkan susu pada usia antara dua setengah tahun hingga tiga tahun.
Selepas melahirkan, lembu betina akan dipisahkan dengan anaknya dan anak lembu itu diletakkan di kandang khas sehingga berusia tiga bulan.
Selepas berusia tiga bulan, anak lembu itu akan di pindahkan ke kandang lain sehingga berusia satu tahun.
Bagi memastikan lembu tenusu sentiasa dalam keadaan baik, pihak pengurusan akan memastikan rumput-rumput di ladang dijaga dan sentiasa dalam keadaan subur.
Sistem ragut
Menurut kakitangan bahagian pengurusan, Edna Surai, sistem ragutan yang dikendalikan di ladang Desa Cattle adalah menggunakan strip-grazing.
"Penggunaan strip-grazing adalah untuk memastikan kawasan yang disediakan diragut dengan sempurna iaitu ke paras tiga atau empat inci dari paras tanah.
"Cara pemeliharaan rumput-rumput di kawasan ini pula adalah menggunakan baja komersial seperti urea dan sulfur yang diperlukan untuk pertumbuhan yang baik dari segi kandungan protien dan zat-zat," jelasnya.
Bagaimanapun, selain bergantung kepada rumput yang ditanam di ladang, lembu-lembu tenusu juga perlu diberi makanan tambahan berupa rumput napier yang ditanam sendiri oleh pekerja ladang.
Jelas Edna, Desa Cattle turut menyediakan sebuah kawasan yang terletak di daerah Bongawan untuk menanam rumput napier bagi keperluan lembu-lembu tenusu di ladang.
"Rumput napier merupakan salah satu jenis tumbuhan hijau yang berkualiti dan disukai oleh haiwan ternakan. Di Desa Cattle, kami akan menyediakan ruang yang bersih bagi menempatkan lembu-lembu tenusu setiap kali mereka diberi makanan," jelasnya.
Kosmo Online
No comments:
Post a Comment