iklan 728x90

Pages

Thursday 23 January 2014

Tumpang Bermanja, Lisa Surihani Idam Zuriat Sendiri


TINGGALKAN mengenai kisah cahaya mata, buat pertama kalinya, Lisa menyumbangkan suara berduet bersama suaminya menerusi lagu Kekasih Abadi ciptaan Edry.

Bakat yang bukan sahaja dihidu oleh suaminya, malah seluruh keluarganya turut sama menyokongnya.

Bagaimanapun, menurut Lisa, ia merupakan satu tanggungjawab besar dan dia tidak mampu untuk ke bidang nyanyian secara serius.

Menurut Lisa, walaupun ada beberapa peminat mengatakan dia mempunyai suara yang ada kemerduannya tersendiri dan mampu pergi jauh jika vokalnya diasah, dia bagaimanapun mempunyai pandangan sebaliknya.

“Saya rasa pelik bila dengar balik nyanyian tu. Sebenarnya lagu itu saya rakamkan demi suami saya kerana selepas berbulan memujuk saya merakamkan lagu itu, akhirnya saya lakukannya demi Yusri,” katanya yang kurang meminati dunia nyanyian kerana merasa tidak mempunyai bakat dalam bidang itu.

Pernah menjadi penyanyi latar untuk lagu Anuar Zain di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2004 dan melalui konsert Hazami menerusi lagu Sonata Musim Salju, akui Lisa, itu tidak bererti dia boleh menyanyi.

“Dulu saya pernah menyanyi sebagai backup singer, tapi hanya sekadar hobi dan tak terfikir untuk menjadi penyanyi sekali gus menceburi bidang ini,” katanya.

Namun menurutnya, dia telah cuba buat sehabis mungkin dan hanya mahu menjadikan lagu dia dan Yusri sebagai momen indah mereka berdua.



Hampir tertekan


Berkongsi pengalamannya yang bakal kembali menerusi filem bergenre seram berjudul Dendam Orang Mati, menurut Lisa, dia hampir menghadapi tekanan menjiwai watak tersebut.

“Alhamdulillah, Yusri sangat memahami. Saya akui semasa saya menjalani penggambaran filem itu, saya merasakan watak ini terlalu berat dan saya sedikit tertekan. Namun, segalanya di bawah kawalan apabila saya dapat terapeutik setelah meminta Yusri bawa budak-budak untuk saya bermain dengan mereka.

“Watak ini terlalu berat bagi saya. Namun, memandangkan saya diberikan inspirasi daripada Yusri untuk melakonkan watak tersebut, saya terima tawaran filem itu.

Saya tak pernah lagi pegang watak sebegini. Karakter saya juga tak sama. Walaupun susah sikit nak menjiwai watak Lena ini. Namun, saya berjaya menyahutnya,” katanya yang mendapat bimbingan lakonan dengan pelakon air mata, Fauziah Nawi.

Lisa yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Cicakman 3 mengakui amat teruja kerana bersama Yusri.

“Walaupun saya tak melakukan apa-apa, namun saya akan bersama Yusri, ikut penggambaran dan melakukan kerja-kerja belakang tabir di lokasi. Tadi saya baru habis di lokasi jam 6 pagi,” katanya.

Mengakui berada di dalam lapangan yang sama adalah satu kelebihan, Lisa berkata, memandangkan mereka bergelar anak seni, jadi mereka amat memahami kerjaya dan tugas masing-masing.

“Paling penting kami sentiasa sokong antara satu sama lain. Apa yang penting kami sukses dalam kerjaya masing- masing,” katanya yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Yusry dalam filem Ular, arahan Jason Chong.



Ratu laman sosial


Dilabel sebagai ratu media sosial, Lisa berkata, dia juga terkejut apabila pengikut Twitternya hampir mencecah dua juta pengikut.

Menurut Lisa, sejak remaja lagi dia suka berinteraksi dan memuat naik status di laman sosial. Jelasnya, mungkin kerana itu dia mudah meraih ramai kenalan dan juga peminat.

“Setiap kali saya update status saya pasti akan terima respons yang banyak daripada peminat. Untuk menghargai mereka, saya akan membalasnya. Mungkin sebab itu mereka sering mengikuti saya di laman sosial,” katanya.

Menurut Lisa, media sosial memainkan peranan penting dan menjadi gaya terkini bagi seseorang artis untuk berkongsi berita dan gambar terbaru mereka bersama peminat.

Pun begitu, Lisa mengakui media sosial mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri terhadap seseorang selebriti.

“Kebanyakan peminat kini sudah mahu berinteraksi secara terus kepada artis yang diminati melalui media sosial seperti Twitter, Instagram, Keek mahupun Facebook.

“Saya rasa ia adalah satu cara bagaimana peminat boleh berhubung secara langsung dan sangat dekat dengan artis kesayangan mereka.

"Bagaimanapun, apa yang buruknya apabila seseorang pengikut itu masing-masing secara sewenangnya melepaskan perasaan mereka secara terus, tanpa menimbangkan pemikiran dan perasaan orang lain. Itu yang menyebabkan ia berlaku pergaduhan,” katanya.

No comments:

Post a Comment