Agak lama juga dia tidak dikaitkan dengan gosip cinta. Alih-alih
baru-baru ini timbul desas desus Nur Fazura dikatakan sedang menjalin
hubungan dengan seorang jejaka Inggeris yang merupakan salah seorang
pemuzik dan DJ popular di Los Angeles, Amerika Syarikat yang dikenali
sebagai Randy Siedman.
Menguatkan lagi spekulasi, apabila aktres itu beberapa kali memuat naik
gambar jejaka tersebut di laman Instagramnya sewaktu dia bercuti di LA,
bulan lalu. Lebih manis menerusi akaun sosialnya itu, Fazura ada yang
menyatakan yang Randy banyak menemaninya sepanjang menikmati percutian
selama sebulan di sana. Malah Fazura dan Randy masing-masing ada menulis
seperti mereka menyukai dan mengagumi antara satu sama lain.
Antara gambar Randy yang dimuat naik Fazura di Instagram sekaligus
menimbulkan tanda tanya ramai mengenai sejauh mana hubungan mereka.
Kredit foto Instagram FazuraAntara gambar Randy yang dimuat naik Fazura
di Instagram sekaligus menimbulkan tanda tanya ramai mengenai sejauh
mana hubungan mereka. Kredit foto Instagram Fazura
“Dia kawan baik saya. Boleh dikatakan yang dia kawan lelaki paling rapat
dengan saya sekarang tapi tidak bermakna kami bercinta. Kami kenal
sejak setahun lalu. Ya, dia adore saya dan saya pun adore dia (gelak).
Saya rasa tak salah kalau kita nak adore kawan kita.
“Dia pernah beberapa kali datang ke Malaysia. Dia juga ada datang
sewaktu majlis hari jadi saya yang lalu. Dan saya pergi bercuti ke LA
bukan lah sebab semata-mata nak jumpa dia. Dari dulu lagi saya memang
menyimpan hasrat nak bercuti ke Amerika. Sebelum ni saya lebih kerap
bercuti di negara Eropah.
“Tahun lalu saya berkesempatan ke sana dan kebetulan saya ada beberapa
orang kenalan di sana termasuklah dia (Randy). Sepanjang saya di sana,
dia menjaga dan melayan saya dengan baik. Mungkin sebab saya banyak
upload gambar dia, jadi orang hanya nampak dia saja. Padahal saya ada
juga beberapa kawan lain di sana”, kata Nur Fazura tatkala ditanya
mengenai sejauh mana hubungannya dengan lelaki berkenaan.
Nur Fazura ditemui pada majlis previu filem ‘Kami Histeria’, bertempat di e@Curve.
Ditanya apa yang membuatkan dia selesa berkawan dengan Randy, Fazura
berkata kebijaksanaan dan sikap Randy yang sangat menghormati wanita
membuatkan dia tertarik sekaligus senang menjalinkan hubungan sebagai
sahabat dengan lelaki tersebut. Malah akui Fazura, Randy banyak memberi
inspirasi kepada dirinya.
“Dia seorang yang bijak dan sangat menghormati wanita. Sikapnya yang
sentiasa positif secara tak langsung banyak memberi inspirasi kepada
saya. Dia seorang yang unik. Bila bersama dengan dia, saya sentiasa nak
jadi individu yang lebih baik”, ujarnya.
Selama sebulan di sana, banyak pengalaman menyeronokkan yang dilalui
Fazura setiap hari. Antara momen berharga apabila dia dapat bertemu
dengan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna.
Malah sewaktu Yuna diundang sebagai tetamu sebuah rancangan bual bicara
popular Amerika, Jimmy Kimmel, Fazura juga berpeluang hadir sama ke
program tersebut dan menyaksikan Yuna membuat persembahan.
“Saya seronok sepanjang berada di sana. Rasa tak nak balik, pun ya. Tapi
nak buat macam mana kan… kerjaya dan famili saya di sini. Apa yang
menarik, persekitaran di sana sangat berbeza. Orang-orangnya sangat
berfikiran positif dan releks. Saya suka suasananya yang sangat ceria,
tak ada politik, tak ada ‘drama. Saya sempat ke San Diego, San Fransisco
dan saya sambut tahun baru di Vegas.
“Selain tu saya sempat jumpa Yuna. Ceritanya, hari kedua saya di sana,
Yuna mesej saya dan ajak berjumpa. Kemudian bila berjumpa, kami berborak
sakan selama 3 jam. Dia ajak saya ke rancangan Jimmy Kimmel.
“Saya sangat bangga dengan Yuna. Sewaktu di program tersebit saya
satu-satunya penonton Melayu dan saya bangga bila ramai memuji bakat
Yuna”, kongsinya lagi dengan nada teruja.
Sementara itu mengenai perkembangan karier, Fazura bakal muncul dengan
filem terbaru, Kami Histeria yang bakal ditayangkan di pawagam mulai 6
Februari ini. Dia memengang watak sebagai hantu langsuir dalam filem
arahan Syamil Othman itu.
Filem komedi seram itu juga turut dijayakan oleh barisan pelakon seperti
Diana Danielle, Nad Zainal, Sarah Ali, Mila Jirin dan Umi Omar.
Selain itu Fazura juga sedang menantikan tayangan filem lakonannya,
Manisnya Cinta di Cappadocia yang dijangka akan menemui peminat di
pawagam dalam tahun ini. -Malaysian Digest
Saturday, 25 January 2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment