iklan 728x90

Pages

Tuesday, 19 November 2013

Fasha Sandha Anggap Baju Lakonan Tidak Seksi

 
SATU babak filem Penanggal yang menggandingkan Fasha bersama Zul Arifin.

AKTRES Fasha Sandha yang ditemui pada malam prebiu filem Penanggal lakonannya baru-baru ini kelihatan semakin jelita dengan baju gaun hitam yang membaluti tubuhnya.

Tidak keseorangan, ibu kepada Putra Rayfal Ramli, tujuh bulan, itu hadir bersama suami tersayang, Rizal Ashram atau Jejai.

Biarpun bukan peminat filem seram tetapi aktres berusia 29 tahun itu berani menyahut cabaran membintangi Penanggal yang turut dibintangi oleh Ummi Nazeera, Azri Iskandar dan Zul Ariffin itu.

Membawakan watak gadis Arab bernama Sharifah Zahrah, ada beberapa babak yang memaparkan keseksian aktres itu dalam mengenakan busana Arab.

Fasha menjawab mengenai hal itu selain bercerita mengenai cabaran membintangi filem sulung arahan aktres hebat Elly Suriati itu.

Ikuti temu bual bersama Fasha selanjutnya.

Kosmo!: Khabarnya masih belum sihat tetapi datang juga ke malam prebiu filem Penanggal?

FASHA: Ya, masih demam sejak hari itu. Ketika saya demam, risau pula mahu beri anak susu, takut berjangkit. Mujur saya tanya kakak saya yang sudah memiliki anak tiga orang sama ada boleh menyusukan anak atau tidak. Dia cakap boleh, tak berjangkit sebab susu ibu ada antibodi. Cuma dia cakap jangan kerap cium anak takut berjangkit tetapi saya cium juga (ketawa).

Apakah perasaan tonton lakonan anda dalam Penanggal?

Ini kali pertama saya menonton Penanggal. Sebagai pelakon, memang akan ada rasa untuk perbaiki lagi mutu lakonan tetapi kalau pengarah puas hati, saya lega. Saya suka keseluruhan filem ini walaupun ada beberapa babak yang dipotong.

Kenapa babak tersebut dipotong dan apakah babaknya?

Ia babak membabitkan lakonan saya. Mungkin ia dipotong disebabkan terlalu panjang. Babak membabitkan apa tidak perlulah saya beritahu.

FASHA hadir ke majlis tayangan perdana filem Penanggal bersama suami.
Maaf bertanya. Ada beberapa babak dalam Penanggal yang memaparkan Fasha dalam keadaan yang seksi. Kostum Arab yang dikenakan terlalu terdedah sehingga terlihat lurah dada anda. Komen Fasha?

Bagi saya, tidaklah seksi sangat. Benda itu biasa sahaja. Tidak perlu jadikan isu.

Fasha tidak berasa malu?

Tidak malu, malah berasa bangga menonton lakonan sendiri.

Apakah cabaran membawakan watak Sharifah Zahrah?

Semua babak susah terutama babak yang memerlukan saya berdialog dalam bahasa Arab. Memang kita boleh belajar dan hafal tetapi bagaimana nak buat lenggok bahasanya jadi semula jadi seperti orang Arab bercakap, itu yang susah.

Fasha suka filem seram?

Saya boleh tengok tetapi tidak berapa suka. Suami pernah kenakan saya ajak tengok cerita komedi tetapi sebenarnya cerita seram. Saya lebih suka cerita komedi. Bila tertekan dekat set penggambaran, saya akan lega bila tengok cerita komedi.

Kebiasaannya bagi pelakon yang membintangi cerita seram akan ada pengalaman berjumpa hantu. Bagaimanakah pula dengan Fasha sendiri?

Memang penggambaran Penanggal bermula dari pukul 6 petang hingga 7 pagi. Namun, saya tidak mengalami apa-apa peristiwa yang menakutkan.

Selama 10 tahun terbabit dalam dunia lakonan, saya pernah terlibat dalam dua buah drama seram dan sebuah filem seram iaitu Gong.

Namun Alhamdulillah, saya belum lagi mengalami peris- tiwa seram.

Bagaimanakah pengalaman bekerja di bawa arahan Elly Suriati?

Dia tahu naluri seorang pelakon. Jadi, dia tahu bagaimana nak cakap dengan pelakon. Dia sangat teliti dan semua perkara dititikberatkan. Bukan mudah seorang pelakon sepertinya mahu buat naskhah seperti ini.

Selain daripada Penanggal, apakah drama atau filem lakonan anda yang bakal keluar?

Drama Racun Ibu untuk slot Cerekarama TV3 serta dua buah drama bersiri untuk RTM dan TV3.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/


No comments:

Post a Comment