PETALING JAYA: Pelakon
Fizo Omar berkata perkara pertama yang dia lakukan sebaik sahaja
bergelar suami kepada Mawar Abdul Karim, 24, ialah berbincang tentang
tanggungjawab dan peranan masing-masing dalam melayari hidup sebagai
suami-isteri.
Fizo atau
nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, berkata, dia yang juga suami
kepada anak pengusaha tudung jenama Fareeda itu masih dalam proses
mengenali dan mencari keserasian terhadap wanita tersebut kerana mereka
berdua tidak pernah bercinta.
"Perkara
pertama ialah kami duduk berbincang tentang peranan masing-masing, Mawar
tiada abang jadi saya sebagai suami dan abang buatnya perlu duduk
berbincang dalam banyak hal sebelum sesuatu perkara itu dipersetujui.
"Lagi pula masa ini adalah proses kami untuk mencari keserasian dan mengenali hati budi masing-masing,"ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.
Fizo dan
Mawar selamat bernikah pada 10 November lalu di kediaman keluarga
pengantin perempuan di Country Heights, Kajang kira-kira pukul 9.30
pagi.
Tambah Fizo,
perasaan yang dirasakannya selepas tiga hari menjadi suami ialah lebih
tenang berbanding kehidupan bujang sebelum ini.
"Kehidupan
yang sangat berbeza yang mana saya rasa lebih tenang sekarang sebagai
suami. Secara jujurnya saya bahagia dan teruja untuk melayari kehidupan
mendatang sebagai sebuah keluarga," ujarnya.
Fizo
berkata, mereka bakal berpindah ke rumah baharu yang terletak di Country
Height, Kajang dan Fizo akan membawa bersama ibu dan adik perempuannya.
"Rumah dah
siap dan kami akan pindah dalam masa terdekat ke rumah baru. Buat masa
sekarang kami masih tinggal secara bergilir-gilir di rumah ibu mertua
masing-masing.
"Ibu dan adik akan tinggal bersama saya kerana mereka adalah tanggungjawab saya sampai mati," katanya.
Sementara itu, Fizo berkata dia dan isteri akan berbulan madu ke Eropah pada Disember ini selama tiga minggu.
Mereka akan menjelajah ke beberapa buah negara di benua itu seperti London, Paris, Itali dan Belanda.
mStar
No comments:
Post a Comment