iklan 728x90

Pages

Monday, 28 October 2013

Sembelih suami kerana tamakkan harta

Gambar hiasan. Foto: Google

Banting: Tamak harta mengatasi rasa cinta seorang wanita terhadap suaminya apabila dia sanggup bersubahat merancang pembunuhan teman hidupnya yang dikahwini sejak tiga tahun lalu selepas gagal mewarisi harta lelaki itu bernilai RM500,000.

Perkara itu terbongkar selepas polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang lelaki berusia 62 tahun yang disembelih dan ada beberapa kesan kelar di belakang badan di rumahnya di Kampung Sungai Sedu, di sini, 5 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan berkata, isteri mangsa pada mulanya cuba mengabui mata pihak berkuasa apabila berpura-pura meminta bantuan jiran konon suaminya dibunuh sekumpulan lelaki yang menceroboh rumah mereka.

Bagaimanapun, polis yang mengesyaki sesuatu menahan wanita berkenaan selepas gagal menemui sebarang tanda menunjukkan kediaman mereka dipecah masuk lelaki yang dikatakan seramai 20 orang.


“Polis menahan wanita berusia 50 tahun itu dan hasil siasatan mendapati dia sebenarnya suspek utama di sebalik pembunuhan suaminya.


“Siasatan polis mendapati suspek tidak berpuas hati apabila mangsa tidak mewariskan harta bernilai RM500,000 kepadanya.

“Sebaliknya mangsa menamakan pewaris harta itu ialah anak hasil perkahwinannya dengan isteri pertama yang meninggal dunia tiga tahun lalu,” katanya.

Metro Ahad 6 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki diserang dan dibunuh d kejam oleh sekumpulan lelaki yang mengelar tangan, belakang badan serta menyembelih mangsa di rumahnya di Kampung Sungai Sedu, 5 Oktober lalu.

Kejadian berlaku jam 3.30 pagi dan mangsa berusia 60-an itu disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Langat empat jam kemudian akibat kehilangan banyak darah.

Nordin berkata, siasatan juga mendapati isteri mangsa disyaki bersubahat dengan menantunya berusia 28 tahun untuk membunuh mangsa.

“Menantu suspek bersama dua lagi rakannya berusia 19 tahun dikatakan menyembelih mangsa,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, tujuh individu ditahan di Klang pada 7 dan 8 Oktober lalu sebelum dalang sebenar iaitu isteri mangsa dikenal pasti.

"Difahamkan, suspek wanita itu ada masalah dengan anak tirinya sedangkan suaminya meletakkan nama mereka dalam surat wasiat sebagai pewaris harta," katanya ketika ditemui, semalam.

Nordin berkata, polis turut menemui senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa iaitu sebilah parang, sebilah pisau pemotong daging dan sebilah pisau.

Polis juga merampas sepasang sarung tangan yang digunakan suspek selain sebuah Proton Saga dan semua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datuk hari ini.

MyMetro



View the original article here

No comments:

Post a Comment