iklan 728x90

Pages

Wednesday, 9 October 2013

Peritnya Hidup Tanpa Subsidi Kerajaan!

"Satu Ringgit?" tanya Dr Mariya Yahya, 29, yang terkejut dengan bayaran rawatan bagi ibunya di Klinik 1Malaysia.


Subsidi

Bagi Dr Mariya, yang telah menetap dan bekerja di Australia sejak usia 18 tahun, bayaran kecil itu di kemudahan yang dikendalikan kerajaan sukar untuk dipercayai.

"Bayangkan seorang warga emas penghidap penyakit tiga serangkai, baru selesai mendapatkan rawatan susulan pakar di hospital awam dan pulang dengan berkotak-kotak ubat yang sebenarnya berharga ratusan ringgit padahal beliau tidak membayar satu sen pun," kata doktor gigi ini yang peka dengan harga sebenar khidmat perubatan.

Bandingkan pula dengan bayaran pakar swasta yang mencecah ratusan Ringgit untuk sekali rawatan, belum ditambah dengan harga ubat-ubatan dan perkhidmatan makmal yang lebih mahal, tambahnya.

Beliau berkata rakyat Malaysia bernasib baik kerana semua golongan sama ada miskin, sederhana atau kaya boleh menikmati kemudahan kesihatan secara percuma atau dengan bayaran paling minimum.

PENGALAMAN DI AUSTRALIA

Ini berbeza dengan di Australia yang hanya membenarkan mereka yang layak iaitu pemegang kad konsesi untuk menikmati perkhidmatan hospital awam.

Penerima kad konsesi lazimnya adalah pelajar, penganggur, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang berpendapatan kurang daripada AUS$ 30,000 (RM90,500)setahun.

"Itupun, hospital awam hanya mengeluarkan perskripsi ubatan tanpa ubatan percuma menyebabkan pesakit luar perlu membeli dan membayar sendiri ubat yang diperlukan daripada farmasi," jelasnya.

Dan mereka yang mampu perlu ke hospital swasta.

SARA HIDUP MAHAL

Dr Mariya yang bertugas di Adelaide mengakui sara hidup berkeluarga dan bekerja di Australia, pada amnya mahal. Beliau dan suami teguh bertahan demi salah seorang anak mereka yang merupakan anak istimewa.

"Memandangkan dia dilahirkan di negara ini, anak kami layak mendapat perkhidmatan kebajikan kanak-kanak yang cukup mudah diperolehi di negeri yang kami tinggal (South Australia)," katanya menerangkan perkhidmatan itu termasuk terapi pertuturan, fisioterapi, kaunseling kanak-kanak dan sebagainya.

Isunya, cukai pendapatan yang dikenakan adalah setinggi 46 peratus daripada pendapatan bercukai setahun sehingga menyebabkan beliau dan rakan-rakan merasakan ia terlalu menekan pekerja golongan pertengahan seperti mereka.

Itu belum termasuk banyak lagi yuran tahunan wajib seperti bayaran insurans kesihatan dan insurans pekerjaan, pelbagai lesen seperti lesen membuat radiasi (x-ray), yuran sekolah dan sebagainya.

"Mereka yang berpendapatan di bawah $30,000 setahun dikecualikan daripada cukai dan golongan atasan seperti jutawan pula boleh mengurangkan cukai melalui aktiviti korporat seperti mengadakan cabutan bertuah atau memberi derma," jelasnya.

Antara punca golongan profesional Australia terpaksa membayar cukai yang tinggi adalah kerana kerajaan memerlukan wang bagi menyara orang seperti penagih dadah, penganggur dan ibu tunggal.

Beliau menjelaskan polisi menyara golongan sebegitu walaupun baik, ia turut disalahguna dengan pelajar tidak berkahwin sengaja mengandung bagi mendapatkan saraan kebajikan dan begitu juga golongan penganggur yang kekal menganggur.

TANPA SUBSIDI

Perbelanjaan untuk pengangkutan juga tidak kurang mahalnya. Berbeza dengan Malaysia yang mengamalkan polisi subsidi untuk mengurangkan beban sara hidup, tiada istilah subsidi petrol, air atau elektrik di Australia.

Pengguna kenderaan persendirian perlu membayar harga petrol asal iaitu sekitar AUS$1.59 (RM4.80) untuk seliter, malahan pemilik kebanyakkan stesen petrol kawasan luar bandar mengubah harga mengikut perkembangan semasa.

Jika di Malaysia pemandu yang melanggar peraturan jalan raya boleh mendapatkan diskaun jika membayar saman secepat mungkin, istilah itu tidak wujud di negara kangaroo itu.

Malahan, mereka mempunyai sistem mata demerit yang menyebabkan lesen pemandu digantung jika mata terkumpul mencapai jumlah tertentu.

"Barangkali ini adalah faktor utama mengapa pemandu Australia sangat berdisplin dan bilangan kenderaan juga kurang dengan sistem basnya cekap," tambahnya.

Untuk pengangkutan awam pula, pengguna tanpa kad konsesi perlu membayar harga antara AUS$4.00-$5.00 (RM12-RM15)untuk satu tiket yang boleh digunakan untuk menaiki mana-mana bas selama dua jam.

SERVIS MAHAL

Walaupun kualiti perkhidmatan di sana dikira amat baik, perbelanjaan menghantar anak ke pusat penjagaan kanak-kanak adalah AUS$80 (RM241) seorang untuk sehari, manakala yuran sekolah awam pula menelan belanja AUS$250 (RM754) setahun.

Perkhidmatan asas juga mahal misalnya bayaran untuk menggunting rambut adalah sekitar AUS$30 (RM90.50), sedangkan menurut Mariya, dengan nilai yang sama, seseorang boleh gunting dan cuci rambut serta mendapatkan urutan kepala di salun rambut Malaysia.

"Jika ingin makan di luar pula anda perlu bersedia untuk membayar AUS$3.50 untuk secawan kopi paling murah, jadi bayangkan sendiri berapa banyak yang perlu anda sediakan untuk menu lengkap," katanya.

Memang ramai yang menyangka menetap di luar negara adalah sesuatu yang mengujakan, tetapi mereka tidak sedar sara hidup pekerja di negara asing adalah tinggi.

Beliau merasakan situasi di Malaysia adalah cukup baik dan seimbang untuk semua golongan miskin, kaya dan pertengahan, walaupun masih terdapat banyak ruang pembaikan.

Tetapi rakyat Malaysia perlu menerima hakikat yang mereka tidak boleh hidup dengan subsidi buat selama-lamanya.

Sumber: Bernama


View the original article here

No comments:

Post a Comment