Media semalam melaporkan, Bratislav Stojanovic berkongsi liang lahad dengan abu mayat sebuah keluarga yang mati lebih 100 tahun lalu.
Menurut Stojanovic, 43, sebagai orang yang tiada rumah, dia terpaksa menjadikan kubur sebagai tempat tidur.
“Saya membuat beberapa ubah suai pada kubur berkenaan dan selepas itu, saya selesa di situ,” katanya. Selain kering, hangat dan dilengkapi lampu, Stojanovic berkata, liang lahad itu menjadi tempat dia menyimpan barangannya. “Ia bukan sehebat istana, tetapi ternyata lubang itu jauh lebih selesa berbanding tidur di jalanan,” katanya. Tidak pernah memiliki kerja tetap, Stojanovic terpaksa melepaskan rumahnya di Nis apabila dibelenggu dengan masalah hutang yang banyak.
Selepas berbulan-bulan berkeliaran di jalanan, Stojanovic mengambil keputusan berpindah ke kubur itu untuk berlindung daripada cuaca sejuk dan gelap. Kata Stojanovic, hidup bersama mayat tidak begitu menakutkan seperti sangkaan sesetengah pihak.
“Pada mulanya saya takut, tetapi lama-kelamaan keadaan di situ menjadi biasa.
“Kini, selain masalah kelaparan, saya lebih takutkan manusia yang hidup berbanding dengan orang mati,” katanya. Menurut Stojanovic, setiap kali dia mahu keluar dari ‘rumah’ itu, dia akan mengintai terlebih dulu bagi memastikan tiada sesiapa di situ.
Jika tidak, kata Stojanovic, dia mungkin menakutkan orang lain yang kebetulan ada di sekitar kawasan berkenaan.
Sementara itu, Stojanovic berkata, orang ramai melayannya dengan baik dan selalu datang membawa makanan atau pakaian untuknya. “Kadang-kadang saya terpaksa mencari makanan dari tong sampah dan kadang-kadang ia sangat berkhasiat.
“Saya hairan melihat makanan yang dibuang orang ramai,” katanya.
Stojanovic berkata, dia juga bersedia jika ditakdirkan mati dalam kubur seluas dua meter persegi itu.
“Sekurang-kurangnya saya dapat mati di tempat yang sesuai,” katanya. Sementara itu, pihak yang menguruskan tanah perkuburan itu berkata, Stojanovic boleh tinggal di situ selagi dia tidak mengganggu sesiapa.
* Sumber myMetro
No comments:
Post a Comment