PANCAWARNA dunia glamor jelas terpancar menerusi rutin hariannya.
Jadual kerja tidak menentu, panggilan tawaran ada yang tiba-tiba harus
dipenuhi, segala hati hendak ditawan sehinggakan ada ketikanya menjadi
manusia yang serba positif untuk memuaskan hati pihak lain. Itu semua
dunia yang sedang dihadam oleh si jelita bernama Reen Rahim.
Pilih Kasih menjadi platform pertamanya. Usai bergelar juara musim
ketiga program realiti lakonan itu sekitar pertengahan tahun 2012, dia
terus menyerahkan kudrat dan nasib untuk menapak menjadi pelakon.
Untung sabut timbul, untung batu ia tenggelam. Terjunan Reen, 25,
tidak sekadar percubaan untuk perjudian timbul atau tenggelam. Reen
mengakui dia takut bermain gelora dunia hiburan yang penuh pancaroba.
"Sebenarnya tiada erti glamor dalam hidup saya, cuma bidang yang saya
ceburi ini sentiasa dilihat glamor oleh seluruh masyarakat. Apabila
saya masuk menjadi pelakon, secara tak langsung digelar selebriti,
penampilan diri harus dijaga biar bertempat dan kena pada situasi. Sudah
tentu saya tidak mahu hanyut di sini," lenturnya memulakan mukadimah.
Reen Rahim atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Rahim tidak terkilan
jika masih ramai yang belum mengenali diri dan kemampuan bakatnya.
Realiti hidup dalam bidang yang dilimpahi populariti itu juga semakin
dikenalinya penuh intim. Menjadi artis, ruang privasi kini terbuka untuk
dihakimi mata umum.
"Biarpun saya masih belum sampai ke tahap digelar bintang popular,
artis glamor atau apa sahaja istilah yang diberi, rasanya saya sudah
faham permainan industri. Dari kaca mata luar, rasanya perkara itu pun
sudah adat menjadi figura umum.
"Saya berlakon sebagai karier, dalam masa yang sama kami menyampaikan
sesebuah karya itu kepada masyarakat. Saya pun sudah sedia maklum, jadi
artis memang akan jadi perhatian masyarakat dan saya bersedia dengan
situasi itu," katanya yang awal-awal lagi sudah dikecam gara-gara
lakonan sebagai wanita bertudung tetapi bersentuhan dengan lelaki dalam
drama Sahara.
Kemunculan Reen dalam karya islamik itu mendapat pelbagai reaksi sehingga mencetuskan kontroversi. Namun, satu impak yang ketara, namanya popular dan dikenali menerusi drama itu.
"Itu satu sisi lain yang berlaku tanpa dirancang. Saya dikecam dan dituduh macam-macam ketika baru bertatih sebagai pelakon. Kalaulah cara popular itu boleh dipilih, saya mahu populariti datang secara semula jadi, melalui lakonan saya, biar popular secara positif," katanya yang baru-baru ini muncul dalam drama Cinta Jannah dan Kampung Girl.
Mahu jadi bintang
Pelakon berwajah Bollywood itu mengakui dia sering berangan-angan setiap kali menonton filem Hindustan.
"Sejak kecil lagi saya memasang impian untuk jadi bintang, macam heroin Bollywood. Sekarang, apabila saya masuk menjadi seorang pelakon, baru saya sedar perjalanan saya masih terlalu jauh. Dahulu, ini hanyalah angan-angan kosong tetapi sekarang saya semakin membina keyakinan. Saya percaya, suatu hari nanti mimpi saya akan jadi nyata. Langkah saya baru sahaja bermula, saya redah sahaja," pelakon siri Aku di TV3 ini bertutur lancar.
Bergegas hendak ke lokasi Bohsia: Jalan Kembali versi drama bersiri, Reen sedikit resah memandangkan jadual fotografi kali ini tiba-tiba bertindih dengan panggilan penggambaran yang baru sahaja diselitkan dalam jadualnya.


No comments:
Post a Comment